Sunday 20 October 2013

PROGRAM GAMBAROU NIHONGO KALI KE 6 THN 2012


   



















  Program Ganbarou Nihongo Zon Utara (Utara) kali ke 6 telah diadakan pada 29 hingga 30 Oktober 2012 bertempat di Sekolah Menengah Sains Kubang Pasu,Kedah.Seramai 219 orang pelajar dan enam orang guru Bahasa Jepun dari 6 buah sekolah SBP zon utara(utara) telah mengambil bahagian. Ketibaan para peserta dan tetamu kehormat telah disambut dengan paluan kompang dan bunga manggar serta persembahan silat oleh para pelajar SM Sains Kubang Pasu. Persembahan tarian dan nyanyian telah memeriahkan lagi majlis pembukaan. Program ini telah dirasmikan oleh Encik Izzudin bin Ibrahim, Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan. Program ini juga telah dihadiri oleh Acting Consul General of Japan, Hiroko Tamiguchi dan 2 wakil dari Japan Foundation Kuala Lumpur.
Pelbagai aktiviti telah dijalankan sepanjang program ini berlangsung untuk memberi pengalaman kepada para peserta. Aktiviti permainan bahasa telah berjaya dijalankan dengan kerjasama guru-guru bahasa Jepun dari setiap sekolah yang mengambil bahagian. Aktiviti ini bertujuan untuk membantu para peserta mengingati semula apa yang telah dipelajari. Selain itu, Japan Foundation Kuala Lumpur telah memberi peluang kepada para peserta untuk mengenali lebih mendalam tentang budaya Jepun dengan mengadakan aktiviti Arigorizumu Rhythm, kirigami /origami dan aktiviti menonton video dalam bahasa Jepun yang bertajuk ‘Arashi no yoru ni’.
Senaman pagi Rajio Taisho telah dikemudikan para fasilitator tingkatan empat SM Sains Kubang Pasu pada keesokan harinya. Program diteruskan dengan aktiviti Cosplay Fashion yang dapat menonjolkan kreativiti dan semangat kerjasama para peserta. Seterusnya lagu Tegami telah berjaya dipelajari dan dinyanyikan oleh para peserta dan guru-guru.Motivasi oleh Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan telah dijalankan selama satu jam setengah. Setelah itu, borang kaji selidik telah diedarkan dan majlis penutupan telah dirasmikan oleh Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan, Encik Izzudin bin Ibrahim.